Saturday, 5 April 2014
Kenyataan Anwar di Daily Telegraph dibidas
KUALA LUMPUR 4 April - Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa kerajaan menyembunyikan fakta sebenar kehilangan pesawat MH370 dan mempersoalkan kegagalan sistem radar negara mengesan perubahan haluan pesawat itu dikecam pelbagai pihak. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyifatkan tindakan Anwar itu meletakkan diri Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut ke tahap paling rendah. Katanya, walaupun pihak kerajaan bersama negara-negara lain bertungkus-lumus berusaha dalam misi pencarian pesawat tersebut, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu pula dilihat mengejar keuntungan politik. Kenyataan Anwar jelas tidak berasas. Kita bukan berada dalam keadaan perang, sebaliknya, pesawat ini adalah sebuah pesawat awam yang meninggalkan ruang udara kita, bukan pesawat yang tidak dikenali menghampiri dari luar negara. MH370 telah mengikuti laluan perdagangan biasa dan pesawat awam kerap menukar laluan. Ini adalah dakwaan yang tidak berasas oleh Anwar di peringkat antarabangsa yang benar-benar tidak kena dan tidak membantu usaha pencarian," kata beliau dalam akaun Twitter hari ini. Akhbar Daily Telegraph yang berpangkalan di United Kingdom (UK) hari ini menyiarkan kenyataan Anwar yang mempersoalkan kegagalan sistem radar canggih Malaysia, Marconi untuk mengesan perubahan arah laluan pesawat MH370 dan menuduh kerajaan menyembunyikan maklumat
berkaitannya. Dalam pada itu, Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, kenyataan itu bersifat provokasi dan cuba melakukan satu pembohongan kepada rakyat negara ini. Besar kemungkinan tindakan Anwar itu dirancang dan beliau mungkin diperalat pihak ketiga untuk memburukkan negara ini sebagaimana media asing yang berterusan menyalahkan Malaysia dalam insiden MH370," katanya. Azwanddin turut mempersoalkan mengapa Anwar hanya menuding jari menyalahkan Malaysia sedangkan operasi pencarian itu melibatkan 26 negara. Katanya, jika radar milik negara ini dapat mengesan sebarang perubahan arah haluan pesawat itu, sudah tentu Malaysia tidak mengharapkan bantuan luar. Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Negeri Sembilan, Ruslan Kasim berkata, Anwar sepatutnya berpijak di bumi nyata sebelum memberikan sebarang kenyataan kepada media asing. Tindakan Anwar tiada bezanya dengan peranan yang dimainkan stesen televisyen CNN yang cuba menimbulkan pelbagai spekulasi sejak kehilangan MH370 pada 8 Mac lalu. Pada masa yang sukar ini adalah lebih baik untuk Anwar menunjukkan simpati kepada keluarga mangsa," katanya.
Artikel Penuh: http://202.190.126.82/utusan/Dalam_Negeri/20140405/dn_08/Kenyataan-Anwar-di-iDaily-Telegraphi-dibidas#ixzz2y0Id0HSw © Utusan Melayu (M) Bhd
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment