Saturday, 5 April 2014

Sepakat tolak fitnah media asing











2014/04/05

Kuala Lumpur: Rakyat perlu bersatu menolak spekulasi buruk yang sengaja digembar-gemburkan media asing bagi memperlekehkan usaha Malaysia menangani tragedi MH370. Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad menyelar sikap menuding jari media asing yang meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada kerajaan. “Kita menggelarkan permainan ini sebagai blame-game. Ada media asing menuding jari memperbesarkan cara pengendalian insiden itu seolah-olah mereka sahaja yang betul. “Malah, tanpa rasa bersalah mereka menyenaraikan tujuh sebab utama kegagalan misi, walhal ia terlalu remeh berbanding komitmen pasukan mengendalikan misi pencarian,” katanya pada persidangan akhbar di Wisma BERNAMA, di sini, semalam. Hadir sama, Pengerusi Biro Integriti dan Ketelusan, Tan Sri Zaman Khan; Biro Wanita, Faridah Jabbar; dan Media dan Komunikasi, Zainor Sulaiman. Dr Hasan berkata, media asing tidak pernah menghulurkan simpati, sebaliknya berterusan menekan dan menghentam Malaysia dengan memanipulasikan laporan serta sumber berita yang sama
sekali menyimpang daripada kebenaran. “Mereka mendabik dada memberitahu dunia betapa hebatnya mereka. Disebabkan mereka dalam kalangan media berpengaruh, ada beberapa pihak dalam negara termasuk pembangkang dan golongan cauvinis menjadi duri dalam daging. Mereka membuat kenyataan biadap, sekali gus mencemari usaha murni dan kegigihan lapisan pasukan mencari,” katanya. Sementara itu, Zaman Khan tidak menganggap cara media asing seperti CNN dan Fox News melaporkan bahan berita secara berjenaka wajar diterima. “Saya tak boleh terima laporan mereka yang mengatakan 61 peratus penduduk negara ini adalah orang Islam, termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang. “Secara tersirat, mereka seolah-olah ingin mengatakan insiden ini sengaja dirancang. Ini sebenarnya helah dan niat jahat mereka dalam memburuk-burukkan negara,” katanya.

No comments:

Post a Comment