KUALA LUMPUR 4 April - Pembangkang berterusan memutar belit fakta mengenai keupayaan kapal selam jenis diesel elektrik negara apabila membuat perbandingan tidak adil dengan kemampuan kapal selam berkuasa nuklear milik Britain, HMS Tireless bagi membangkitkan kebencian rakyat kepada kerajaan.
Tanpa mengambil kira jurang keupayaan antara kapal selam jenis nuklear dan kapal selam diesel elektrik, pembangkang mempersoal mengapa kerajaan tidak mengerahkan KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak menyertai operasi mencari pesawat MH370 di Lautan Hindi dengan mengemukakan fakta songsang serta tidak tepat.
Malah, ketika seluruh rakyat bersatu dan mendoakan keselamatan penumpang MH370, pembangkang pula bermain politik murahan menerusi laman sosial Facebook apabila bertindak memberi gambaran jahat kononnya kapal selam negara tidak boleh menyelam, menyebabkan kerajaan terpaksa meminta bantuan Britian untuk menghantar HMS Tireless.
Selain itu, pembangkang juga mengemukakan fakta songsang mengenai kos pembinaan sebuah HMS Tireless apabila mendakwa aset canggih itu cuma berharga 200 juta Euro berbanding kapal selam negara, sedangkan fakta sebenar ialah 200 juta Pound Sterling dan dibina pada 1981 (kos yang cukup tinggi untuk waktu itu)
Kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab itu, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, segala tuduhan yang dilemparkan pihak pembangkang menerusi laman sosial sehingga merendah-rendahkan keupayaan kapal selam serta kemampuan pertahanan negara adalah tidak benar dan fitnah semata-mata.
Jelasnya, beliau tidak mengerti mengapa masih ramai rakyat Malaysia yang cuba mempertikai kemampuan KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak walaupun keupayaan membunuh aset strategik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu sudah dibuktikan beberapa kali dalam siri latihan sebelum ini.
"Keputusan untuk tidak menghantar kapal selam dibuat atas dasar profesional saya selaku Panglima Tentera Laut kerana keupayaan kapal selam untuk mencari dan menyelamat SAR terhad. Saya tidak boleh menghantar kapal selam semata-mata untuk show off (tunjuk kehadiran), sedangkan langkah tersebut langsung tidak efektif daripada segi kos.